PPSPM Gencar Promosi Wisata di Dumai

Riau-Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) memperhebatkan lagi promosi perkhidmatan bot Melaka River Cruise (MRC) di Indonesia dalam usaha merealisasikan sasaran 1 juta pengunjung ke Sungai Melaka pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Azlan Abidin berkata, usaha itu juga bagi membantu kerajaan negeri menarik kedatangan pelancong bersempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2019.

Bagi tujuan tersebut, katanya, seramai sembilan pegawai Bahagian Promosi, Pemasaran dan Acara (BPA) PPSPM yang diketuainya mengadakan promosi serta lawatan kerja ke Dumai selama tiga hari, baru baru ini.

“Antara lain adalah untuk memperkenalkan pakej istimewa yang disediakan MRC kepada pengusaha industri pelancongan di Dumai.

“Sesi taklimat yang diadakan di salah sebuah kafe di Kota Dumai itu dihadiri hampir 100 peserta terdiri wakil agensi pelancongan, persatuan hotel dan restoran Persatuan Pemandu Wisata Kota Dumai, wakil media serta pentadbiran sekolah yang terdapat di sini.

“Program yang diadakan itu turut mendapat kerjasama agensi pelancongan Dumai, PT Syifa Wisata Jaya Persada yang berpangkalan di Kota Dumai,” katanya.

Azlan berkata demikian kepada MelakaKini (MK) selepas sesi taklimat, di sini, Sabtu lalu.

Jelasnya, sehingga 5 Januari hingga bulan lalu, hampir 500,000 pengunjung menaiki MRC dan hasil perjumpaan bersama ejen-ejen pelancongan, mereka memberikan komitmen tinggi untuk membantu PPSPM merealisasikan sasaran 1 juta pengunjung tahun ini menjadi kenyataan.

“Selain Dumai, kita juga mengadakan promosi di beberapa lokasi sekitar Indonesia, Filipina, China dan Singapura termasuk program ‘roadtour’ ke seluruh negara,” ujarnya.

Selain itu, Azlan memberitahu, taklimat itu bertujuan memberikan kemudahan kepada penduduk tempatan yang berhasrat ke Melaka dan Malaysia sama ada untuk bercuti atau mendapatkan rawatan di Melaka.

“Hasil tinjauan yang dilakukan kepada pelancong dari Indonesia, mereka terpaksa mengeluarkan dana yang besar, oleh itu PPSPM dengan kerjasama  PT Syifa Wisata Jaya Persada mengambil kesempatan ini dengan menawarkan pakej berpatutan kepada mereka.

“Ini kerana, jarak perjalanan dari Dumai ke Melaka dengan menaiki feri hanya 2 jam dan ini akan merancak serta memudahkan penduduk di sini untuk ke Melaka,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah PT Syifa Wisata Jaya Persada, Abdul Muhsin berharap jalinan kerjasama berkenaan dapat memberikan kemudahan kepada masyarakat di sini yang ingin ke Melaka dan Malaysia.

“Ini kerana, pelancong Indonesia mencatatkan jumlah kedatangan kedua teramai ke Melaka pada tahun lalu selepas China.

“Faktor budaya yang hampir sama menjadikan daya tarikan pelancong di sini untuk berkunjung ke Melaka termasuk dari Kepulauan Riau dan wilayah lain di Indonesia,” ujarnya.

Sumber:MelakaKini


[Ikuti Seputar Riau Melalui Sosial Media]






Tulis Komentar